Dia menjawabku, berkata, Aisyah, kau kena telan realiti dunia. Ini realitinya. Manusia berbeza. Kami belajar agama tapi tidak mengamalkannya. Sehingga tepu jadinya ilmu yang sepatutnya dicinta.
Sampai hari ini aku masih tak mampu terima bahawa wujudnya manusia yang seolah-olah tak punya rasa. Dan terjelepuk aku dalam lembah yang hina. Di mana kemaksiatan menjadi raja dan nafsu berkuasa, aku sedar suatu hakikat.
Paksa atau rela. Itu kuncinya.
Kerana merasakan terpaksa belajar satu-satu perkara, hati tak mahu menerima. Dilihatnya menghafaz satu persatu tapi tak pernah faham. Kau ambil 7 kitab agama sekalipun dan kau baca untuk ke 44 kalinya, kalau hati kau enggan menerima ilmu yang tersirat di setiap bait kata, dan enggan memahami apa yang dimaksudkan dengan ayat yang tersusun rapi, kau tak akan dapat walau secebis apapun melainkan penat lelah semata-mata.
Ingatkah kau di waktu kau membaca satu susun ayat dan terpaksa mengulang sekali lagi kerana tadinya kau tidak benar-benar baca dengan hati tapi semata-mata dengan mata?
Dan tahulah aku akan kenapa aku menjadi semakin jauh dan lalai adalah kerana, aku mengamati ayat-ayat Allah dalam keadaan paksa. Bukan rela. Maka mudahlah untuk syaitan membolak balikkan nafsu aku agar membawa aku ke arah yang akan membinasakan aku seluruhnya.
Semoga Allah menjaga aku dan hati aku selepas ini. Kerana impian aku bukan setakat apa yang dicita-citakan di dunia, tapi sungguh aku katakan, aku benar-benar mengharap dan ingin Syurga Firdausi.
Ingatkanlah aku wahai teman, tentang Allah, dan tentang mati. Semoga akan tersedar daripada pukauan dunia hendaknya.
Betulkan niatmu wahai Aisyah. Biarkan semuanya Lillahi Taala...

0 budak comel:
Post a Comment